5 OGOS : Tiga lagi individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung pendedahan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Ketiga-tiga suspek terdiri daripada timbalan pengurus besar pembinaan, pengurus keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pengarah projek sebuah syarikat hartanah yang juga anak syarikat badan berkanun itu.
Berita Harian melaporkan mereka disyaki bersubahat menyeleweng caj notis penalti (NOP) bernilai kira-kira RM450,000.
Kesemua lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM pada jam 6 petang, semalam.
Siasatan awal mendapati mereka dipercayai terbabit dalam perbuatan itu antara 2017 hingga 2019.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan tersebut dan diteman selama lima hari sehingga 9 Ogos ini.
Kesemuanya disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek turut direman selama lima hari sehingga 9 Ogos ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Setakat ini, SPRM sudah menahan lima individu susulan siasatan pasukan khas ditubuhkan SPRM bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan RCI TH yang didedahkan, bulan lalu.