5 OGOS : Kerajaan mengarahkan Malaysia Aviation Group (MAG) memperketat proses saringan juruterbang dan pembantu juruterbang susulan penahanan seorang penolong juruterbang Malaysia Airlines (MAS) di Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup dadah.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri selepas Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) membentangkan perkembangan siasatan berhubung insiden terbabit.
“MAG diminta untuk melihat semula protokol mereka, dari segi saringan latar belakang dan juga saringan kesihatan bagi juruterbang serta pembantu juruterbang mengambil kira insiden yang telah berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Selain itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata kerajaan mahu MAG menilai keberkesanan mekanisme saringan sedia ada supaya kelemahan dapat dikenal pasti sekali gus mengelakkan kejadian sama berulang.
Pada masa sama, Kabinet turut bersetuju menempatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pasukan Aviation Security (AVSEC) di lapangan terbang bagi memperkukuh kawalan keselamatan.
Terdahulu, seorang penolong juruterbang warga Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta selepas disyaki cuba menyeludup masuk 26 kilogram dadah yang diletak dalam bagasinya.