5 OGOS: Kementerian Kewangan (MoF) mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat palsu berkaitan bantuan kerajaan yang tular di media sosial.
MoF memberi peringatan itu susulan penyebaran poster yang mengandungi maklumat palsu berkait Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai atau menyebarkan poster yang mendakwa semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan menerima SARA RM100 secara one-off (sekali bayar) kerana maklumat tersebut adalah palsu.
“Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa tiada pengumuman rasmi mengenai pemberian SARA seperti yang didakwa dalam poster berkenaan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai diminta menyemak setiap maklumat menerusi saluran rasmi sebelum berkongsi.
“Orang ramai disaran untuk sentiasa mendapatkan maklumat yang sahih melalui saluran rasmi Kementerian Kewangan sebelum berkongsi bagi mengelakkan penyebaran berita palsu yang boleh mengelirukan masyarakat,” menurut MoF.