11 OGOS : Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH merupakan anggota Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ketika badan itu membeli tanah di Tun Razak Exchange (TRX).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata pembelian itu menimbulkan persoalan konflik kepentingan.
“TH turut membeli tanah di TRX daripada 1MDB ketika kontroversi syarikat itu berada di kemuncaknya.
“Persoalan besar timbul apabila CEO Tabung Haji ketika itu turut menjadi anggota Lembaga Pengarah 1MDB,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pembentangan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH pada sidang khas di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, persoalan timbul sama ada pembelian tanah berkenaan demi kepentingan TH atau membantu menyelesaikan masalah pihak terbabit.
Selain itu, Zulkifli berkata persoalan berkait beberapa pelaburan TH termasuk dalam Putrajaya Perdana Bhd turut menimbulkan persoalan.
Katanya, RCI membangkitkan hal tadbir urus serta kemungkinan berlaku konflik kepentingan dalam beberapa keputusan pelaburan.
“Individu sama adalah Pengerusi TH dan Pengerusi Putrajaya Perdana, malah syarikat itu kemudian terbabit dalam urus niaga dengan 1MDB. Akhirnya, TH mengalami kerugian sebanyak RM145.3 juta,” katanya.