13 OGOS : Buah-buahan, sayur-sayuran dan sumber protein segar dicadang dimasukkan dalam senarai barangan yang boleh dibeli menggunakan Sumbangan Asas RAHMAH (SARA) bagi membantu penerima mendapatkan makanan lebih berkhasiat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) kali ke-18 yang dipengerusikannya pagi tadi.
Beliau berkata cadangan itu akan dibawa untuk pertimbangan dalam Mesyuarat NACCOL yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mesyuarat turut bersetuju supaya cadangan memperluas penggunaan SARA kepada pembelian makanan berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan sumber protein segar dibawa untuk pertimbangan Mesyuarat NACCOL yang dipengerusikan Perdana Menteri.
“Bantuan yang diberikan harus membantu kuasa beli, sekali gus memberi pilihan pemakanan yang lebih baik kepada keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, mesyuarat itu juga meneliti hala tuju Beras Putih Tempatan (BPT) dengan sebarang perubahan dasar perlu mengambil kira kepentingan pengguna, khususnya golongan rentan.
Pada masa sama, kelangsungan pesawah serta industri padi dan beras negara perlu terus dipelihara.
Beliau berkata tekanan kos yang dihadapi sektor perniagaan, logistik dan agromakanan turut diberi perhatian, termasuk kesan perkembangan geopolitik dan peningkatan kos pengeluaran.
“Perkembangan geopolitik serta peningkatan kos pengeluaran perlu dipantau dengan dekat supaya kesannya tidak dipindahkan kepada pengguna,” katanya.
Ahmad Zahid berkata kos sara hidup bukan hanya berkaitan harga barangan di pasar raya, sebaliknya merangkumi keseluruhan kehidupan rakyat termasuk makanan, kesihatan, pendidikan dan keperluan harian keluarga.
“Keutamaan kita adalah rakyat. Setiap ikhtiar yang dilaksanakan mesti sampai kepada mereka yang memerlukan dan benar-benar membantu mengurangkan tekanan kos kehidupan,” katanya.