14 OGOS : Sebanyak 10 kawasan di seluruh negara mencatatkan kualiti udara tidak sihat setakat 10 pagi ini, dengan tujuh daripadanya berada di Sarawak.
Berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Serian merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tertinggi iaitu 183, diikuti Kuching dan Samarahan masing-masing 171, Sri Aman (163), Sarikei (158), Mukah (152) serta Bintulu (147).
Di Semenanjung, tiga kawasan turut mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Cheras (153), Johan Setia (150) dan Shah Alam (103).
Sebanyak 56 kawasan pula merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana, antara 51 hingga 100, lapor Bernama.
Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan berbahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan pemantauan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.