14 OGOS : Ekonomi Malaysia berkembang 6 peratus (%) pada suku kedua 2026 didorong permintaan domestik yang berterusan dan peningkatan prestasi eksport.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata pertumbuhan itu menunjukkan ekonomi negara kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan perkembangan luaran dengan asas ekonomi dan sokongan dasar terus menjadi pemangkin.
“Kami mengunjurkan pertumbuhan antara 4% hingga 5%. Pada awalnya, seperti yang kita maklum, ketika mesyuarat suku pertama, kami menjangkakan pertumbuhan akan berada di bahagian atas julat tersebut.
“Tetapi berdasarkan data yang kita lihat setakat ini, kami yakin pertumbuhan ekonomi akan berada sekitar 5%,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Prestasi Ekonomi Suku Kedua 2026, hari ini.
Menurut Abdul Rasheed, pertumbuhan tersebut turut dipacu perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelaburan yang kekal rancak.
Katanya, penggunaan swasta berkembang 5.9%, disokong pasaran buruh yang menggalakkan, pertumbuhan pendapatan yang stabil serta kesinambungan langkah sokongan dasar.
Sementara pelaburan swasta pula mencatat pertumbuhan 7.3% manakala pelaburan awam meningkat 9.2%, didorong perbelanjaan berterusan bagi struktur, jentera dan kelengkapan dan peningkatan perbelanjaan aset tetap kerajaan dan syarikat awam.
Penggunaan awam turut berkembang 2.6%, susulan peningkatan bekalan dan perkhidmatan serta perbelanjaan emolumen.