14 OGOS : Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengakui kegagalan melahirkan tokoh muda setanding Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hingga menyebabkan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata kekalahan itu merupakan kenyataan pahit yang perlu ditelan parti itu.
“Onn Hafiz menang besar di Johor. Ini kenyataan pahit yang kita perlu telan. Menang bergaya di Johor kerana kita gagal melahirkan seorang watak dan tokoh yang mampu duduk setara dengan Onn Hafiz di Johor!
“Jadi kita nak salahkan siapa? Kita dah ada amanah, kita dah ada ruang diberikan, kita ada ketua-ketua yang kita lantik, yang bertanding, yang dipilih…buat kerjalah. Jalankan tugas, jalankan amanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional AMK 2026 di Melaka, hari ini.
Dalam ucapan sama, Muhammad Kamil turut mengkritik sikap segelintir pimpinan dan jentera parti yang terlalu yakin dalam menghadapi pilihan raya.
“Sebelum bertanding kata ‘Ya, boleh menang! Kalau bertanding bebas pun saya menang!’ Tapi bila turun ke bawah, tidak seindah apa yang diungkapkan.
“Dua minggu sebelum hari mengundi, bila ditanya ke mana, ‘tengah buat cula’. Cula apa nama dua minggu sebelum hari mengundi?! “Ini memang tidak masuk akal! Mengulangi perkara yang sama berulang kali tetapi mengharapkan hasil yang berbeza!,” katanya.
Justeru itu, Muhammad Kamil menegaskan jentera parti perlu menguasai isu setempat dan menyantuni rakyat secara berterusan.
Tegasnya, undi rakyat tidak dijamin dengan populariti di media sosial mahu pun jawatan yang disandang.