14 OGOS : Keselamatan dan kebajikan pelarian Myanmar akan diberi keutamaan sebelum mereka dihantar pulang ke negara asal.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata langkah itu penting bagi mengelakkan Malaysia dilihat sebagai negara tidak berperikemanusiaan sekiranya pelarian dihantar pulang ketika keselamatan serta nyawa mereka masih terancam.
Mohamad turut bercadang berunding dengan kerajaan Myanmar bagi mewujudkan kawasan khas di Rakhine sebagai penempatan untuk mereka yang pulang.
“Kita mahu ada jaminan keselamatan terhadap mereka yang dihantar pulang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Ziarah Kasih di Taman Pinggiran Senawang, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata kerjasama antara Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) penting bagi menyemak serta mengesahkan status pelarian, selain memastikan keadaan keselamatan mereka sebelum proses penghantaran dilakukan.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan Myanmar bersedia menerima 5,000 pelarian negara itu yang berada di Malaysia.
Mohamad berkata ASEAN turut memandang serius isu pelarian Myanmar yang perlu ditangani secara bersama oleh negara anggota, dengan Konsensus Lima Perkara (5PC) kekal menjadi teras dalam menangani krisis di negara berkenaan.
Menurutnya, Malaysia setakat ini bersedia memulakan proses penghantaran pulang secara berperingkat tanpa menunggu hingga angka 5,000 orang itu mencukupi.
“Saya telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Luar berhubung dengan kerajaan Myanmar melalui kedutaan mereka supaya membawa mereka pulang secara berperingkat.
“Tidak perlu menunggu hingga (cukup) 5,000 orang. Kalau sudah dikenal pasti 1,000 orang boleh dihantar balik,” katanya.