17 OGOS : Korea Selatan berhasrat menamatkan secara rasmi Perang Korea dengan mencadangkan rundingan bersama Korea Utara, lebih tujuh dekad selepas gencatan senjata dimeterai pada 1953.
Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung dalam ucapan sempena Hari Pembebasan menggesa kedua-dua pihak memulakan dialog bagi menamatkan konflik berpanjangan itu.
“Marilah kita mengetepikan niat untuk saling mengancam dan memulakan perbincangan bagi menamatkan perang yang telah berlarutan sekian lama,” katanya.
Lee turut mencadangkan ‘sistem keselamatan berlapis’ bagi mengelakkan ketegangan di Zon Bebas Tentera (DMZ), selain menggesa Korea Utara membincangkan keamanan dan pembangunan bersama.
Perang Korea berakhir dengan gencatan senjata pada 1953, namun tiada perjanjian damai rasmi pernah ditandatangani menyebabkan kedua-dua negara secara teknikal masih berperang.
Bagaimanapun, Korea Utara belum memberikan maklum balas terhadap tawaran Seoul itu.
Pyongyang sebelum ini beberapa kali menolak usaha pendekatan Lee serta mengecam latihan ketenteraan bersama Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).
Pada Januari 2024, pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengisytiharkan penyatuan semula dengan Korea Selatan tidak lagi boleh dicapai dan menyifatkan negara jiran itu sebagai ‘musuh utama dan kekal’.