17 OGOS : Thailand bakal memperluas penggunaan kemudahan kawalan pasport automatik atau autogate di Lapangan Terbang Suvarnabhumi kepada pengembara 31 lagi negara menjelang hujung bulan ini.
Timbalan Jurucakap Kerajaan, Lalida Persvivatana berkata cadangan itu sudah dipersetujui secara prinsip oleh Biro Imigresen.
Katanya, Lapangan Terbang Suvarnabhumi mengendalikan kira-kira 190,000 penumpang sehari ketika musim puncak pelancongan, termasuk sekitar 70,000 ketibaan antarabangsa.
Menurutnya, pada waktu puncak antara jam 1 tengah hari hingga 5 petang, jumlah penumpang yang memasuki kawasan imigresen boleh mencecah 5,000 hingga 6,000 orang sejam, katanya.
Selain itu, ia dijangka memberi akses kepada kira-kira 6.5 juta penumpang tambahan untuk menggunakan autogate, selain sekitar 900,000 pemegang visa jangka panjang tertentu.
“Jika beroperasi sepenuhnya, kira-kira 53 peratus penumpang yang tiba dijangka dapat menggunakan sistem automatik tersebut.
“Matlamatnya bukan sekadar memendekkan masa beratur, malah untuk memastikan pengalaman pelancong, bermula dari saat mereka turun dari pesawat, berjalan dengan mudah, pantas, dan selamat,” katanya.
Lalida berkata pelaksanaan sistem itu akan dibuat secara berperingkat berdasarkan kesediaan peralatan, aspek keselamatan dan data biometrik.
Namun katanya, pelawat yang pertama kali memasuki Thailand masih perlu menjalani proses pendaftaran biometrik sebelum menggunakan kemudahan berkenaan.
Thailand merekodkan kira-kira 17.36 juta ketibaan pelancong asing antara 1 Januari hingga 18 Julai lalu.