20 OGOS : Sebanyak 591 sekolah di Sarawak ditutup sementara selama dua hari susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat di beberapa lokasi negeri itu.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan penutupan membabitkan semua institusi pendidikan di bawah seliaan 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong.
Penutupan berkuat kuasa pada 20 hingga 21 Ogos 2026 dan melibatkan 509 sekolah rendah membabitkan 107,590 murid serta 82 sekolah menengah dengan 89,733 murid.
“Berdasarkan bacaan IPU yang direkodkan setakat jam 3 petang, dimaklumkan penutupan sementara semua institusi pendidikan di bawah seliaan 10 PPD di bahagian Kuching (Kuching, Padawan, Bau, Lundu), bahagian Samarahan (Samarahan, Simunjan), bahagian Serian, bahagian Sri Aman (Sri Aman, Lubok Antu) dan bahagian Bentong berkuat kuasa serta merta pada 20 hingga 21 Ogos 2026,” menurut kenyataan JPN Sarawak, hari ini.
JPN Sarawak turut mengingatkan pihak sekolah supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan serta merujuk garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan langkah menjamin kesihatan dan keselamatan murid di kawasan berjerebu.
Semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Sarawak juga dinasihatkan sentiasa memantau perkembangan IPU melalui portal rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) – Air Pollutant Index Management System (APIMS) serta mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa.
JPN Sarawak menegaskan aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan warga pendidikan terus menjadi keutamaan.
Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
