20 OGOS : Serangan udara terbaharu Israel di Syria dikritik pemimpin parti pembangkang Israel, Yair Golan.
Golan menyifatkan tindakan itu berisiko mencetuskan konfrontasi langsung dengan Turkiye.
Ketua Parti Demokrat itu berkata penggunaan kuasa ketenteraan perlu berlandaskan kepentingan keselamatan negara, bukan pertimbangan politik.
Golan mendakwa tindakan tersebut berpotensi menjejaskan hubungan Israel dengan sekutu utama termasuk Amerika Syarikat (AS).
“Serangan di Syria merupakan tindakan provokatif dan berbahaya yang mendekatkan kita kepada konfrontasi dengan Turki serta mendalamkan lagi jurang perbezaan dengan sekutu kita, terutamanya AS.
“Sekali lagi, kuasa tentera digunakan demi kepentingan politik dan sekali lagi Israel terpaksa terima akibatnya dari segi keselamatan,” katanya melalui hantaran di X.
Golan turut mendakwa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak boleh dipercayai serta tindakannya boleh menjejaskan kedudukan negara itu di arena antarabangsa.
“Netanyahu membuktikan sekali lagi bahawa dia seorang tokoh pelampau yang tidak boleh dipercayai, seorang yang tidak boleh kita harapkan untuk membina strategi wilayah yang stabil,” katanya.
Beliau berkata Israel memerlukan kepimpinan dengan keutamaan terhadap keselamatan jangka panjang serta kestabilan serantau, bukan mencetuskan konflik baharu demi kepentingan politik.
Kenyataan itu susulan laporan Israel melancarkan beberapa serangan udara ke atas Lapangan Terbang Tentera Abu al-Duhur di Syria pada Selasa.
Serangan berkenaan berlaku ketika hubungan Israel-Turkiye semakin tegang susulan dakwaan mengenai kemungkinan kehadiran ketenteraan Ankara di Syria.