20 OGOS : Kementerian Kewangan (MoF) menafikan dakwaan tular bahawa kerajaan meluluskan bantuan RM1,500 kepada suri rumah, ibu tunggal dan warga emas.
MoF dalam kenyataan hari ini berkata, dakwaan kononnya permohonan bantuan itu dibuka dari 20 hingga 25 Ogos 2026 adalah tidak benar.
“Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan bahawa maklumat yang sedang tular berhubung dakwaan Kerajaan telah meluluskan bantuan RM1,500 kepada suri rumah, ibu tunggal dan warga emas serta permohonan dibuka mulai 20 hingga 25 Ogos 2026 adalah palsu,” kata kementerian itu dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak terpedaya atau menyebarkan maklumat palsu.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak memberikan maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak tidak dikenali.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya, tidak menekan sebarang pautan mencurigakan dan tidak memberikan maklumat peribadi atau perbankan kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali,” menurut MoF.
Sebarang maklumat berkaitan bantuan serta inisiatif kerajaan hendaklah disemak menerusi saluran rasmi kerajaan dan MoF, kata kementerian itu lagi.
