Malaysia semak pelaburan baharu pastikan beri manfaat ekonomi
20 OGOS : Malaysia akan memperketat penilaian terhadap permohonan pelaburan baharu bagi memastikan kehadiran syarikat asing memberi kesan positif kepada ekonomi serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu perlu selepas terdapat syarikat menggunakan kemudahan gudang dan menjalankan aktiviti transit tanpa memberi pulangan ekonomi atau menyediakan peluang pekerjaan.
“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan kepada kerajaan tentang kehadiran beberapa syarikat yang menggunakan gudang…tidak menyediakan sebarang kelebihan, baik dari segi pekerjaan mahupun manfaat ekonomi.
“Kita telah menghentikan aktiviti tersebut tetapi kita perlu menyemak semula pemohon baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan TikTok Shop Summit 2026, hari ini.
Ketika sesi soal jawab peserta TikTok Shop, Anwar yang juga Menteri Kewangan ditanya berkait lambakan produk murah dari luar negara menerusi platform seperti Temu dan Pinduoduo.
Menurut Anwar, status Malaysia sebagai negara perdagangan terbuka memberikan ruang luas kepada aktiviti perniagaan, namun perkembangan platform digital turut memudahkan produk asing menembusi pasaran domestik.
“Malaysia ini negara perdagangan bebas. Sekarang ini bila ada digital dan dalam talian, nampak kemasukan itu sudah bertambah.
“Kadang-kadang (mereka tawar) kos paling rendah, sekarang dia panggil dumping, supaya dia dapat menguasai pasaran,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan turut memberi perhatian kepada kegiatan perniagaan yang menggunakan nama syarikat tempatan bagi menjual produk import sepenuhnya.
“Kadang-kadang daftar syarikat kecil dengan menggunakan nama kedai kopi, guna nama perniagaan tempatan. Yang jualannya kopi, teh, biskut, semuanya barangan import.
“Tak ada langsung faedah bagi masyarakat, perniagaan tempatan,” katanya.