20 OGOS : Rakyat bakal mendapat peluang membeli barangan keperluan pada harga lebih rendah menerusi ‘Jualan Ihsan Rahmah 9.9’ yang akan berlangsung secara dalam talian pada 9 September ini, sempena Hari Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jualan itu merupakan antara usaha kerajaan memperluas manfaat program Jualan Rahmah itu kepada lebih ramai pengguna melalui saluran digital.
“Mengambil semangat kemerdekaan, Hari Malaysia dan inisiatif yang dilaksanakan dalam sektor e-dagang, saya mahu kita selaraskan dengan penganjuran Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan TikTok Shop Summit Malaysia, hari ini.
Anwar berkata inisiatif berkenaan bakal dijayakan dengan sokongan pelbagai pihak termasuk kementerian berkaitan.
Justeru, beliau berharap usaha mempromosikan program berkenaan dipergiat bagi menarik lebih ramai pengguna dan usahawan tempatan menyertainya.
Program Jualan Rahmah dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.