2 OGOS : Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temu bual bersama media antarabangsa baru-baru ini selari dengan dasar luar negara yang sudah lama dipegang Wisma Putra.
Perkara itu ditegaskan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, hari ini susulan kritikan pembangkang.
Jelasnya, pendirian Malaysia dalam hubungan China dan Taiwan kekal konsisten serta tidak berubah sejak zaman pentadbiran Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein lagi.
Menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, dakwaan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kononnya kenyataan Anwar meletakkan Malaysia dalam kedudukan diplomatik yang sukar serta menyempitkan ruang diplomasi adalah tidak benar.
“Tidak benar. Pendirian Malaysia mengenai isu berkenaan sejak zaman Almarhum Tun Abdul Razak dan pendirian kita tidak pernah berubah.
“Perdana Menteri hanya menyatakan apa yang konsisten dengan pendirian Wisma Putra. Jadi, tidak ada perubahan ataupun perbezaan dalam hal itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Satelit Khas: Kenduri Rakyat MADANI di Lembah Pantai, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi akui kesal dengan sikap pembangkang yang dilihat begitu lantang dalam mengulas isu di luar negara namun hanya berdiam diri dalam isu membabitkan kepentingan umat Islam termasuk Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) yang mendedahkan kerugian jutaan ringgit.
“Yang saya kesal kenapa pihak-pihak tertentu termasuk rakan-rakan dari PAS dalam bab yang jauh dari kita, banyak komentar tetapi yang sangat dekat dengan kita termasuk TH, kita tidak mendengar sepatah pun.
“Saya berharap mereka dapat melebihkan masa menelaah dan membahaskan perkara itu kerana mereka lari dari Dewan Rakyat ketika rakyat mengharapkan pihak pembangkang membahas,” katanya.
