Malaysia-Brunei manfaatkan ASEAN tangani jerebu
22 OGOS : Malaysia dan Brunei akan memanfaatkan mekanisme ASEAN bagi memperkukuh tindakan bersama menangani isu jerebu di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kementerian Luar dan kementerian berkaitan sudah diarah untuk mengenal pasti mekanisme terbaik di peringkat serantau dengan Sekretariat ASEAN.
“Kedua-dua kita bersetuju supaya menggunakan mekanisme ASEAN yang terbaik. Ini kita minta Menteri Luar, menteri yang berkenaan. Kita sudah buat surat kepada Sekretariat ASEAN,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.
Sementara itu, Anwar berkata kerjasama pengurusan bencana termasuk jerebu juga menjadi antara perkara dipersetujui menerusi memorandum persefahaman (MoU) dimetrai pada Mesyuarat Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 (ALC-27).
“Yang kedua ialah tentang MoU kerjasama pengurusan bencana, terutama dalam keadaan sekarang di mana kita terjebak dengan permasalahan jerebu.
“Jadi kita tingkatkan bidang kerjasama dalam bidang itu,” katanya.
Setakat berita ini ditulis pada Sabtu, beberapa kawasan di Sarawak masih merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat namun masih di bawah paras 200.
Rekod tertinggi setakat jam 3 petang ialah IPD Serian (196), diikuti Kuching (188), Samarahan (178), Sri Aman (175), Sarikei (174), Sibu (162), Bintulu (157), Mukah (157), Samalaju (155) serta Miri (143).
Sementara di Semenanjung Malaysia, Bukit Rambai, Melaka merekodkan bacaan tidak sihat pada paras 152.
*Foto : Pejabat Perdana Menteri Malaysia