7 SEPT : Tiada mana-mana kementerian termasuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang akan membelanjakan peruntukan melebihi jumlah diluluskan kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perbelanjaan kementerian dibuat berdasarkan peruntukan ditetapkan dalam belanjawan atau jumlah yang diluluskan.
“Tidak pernah ada sebuah kementerian belanja lebih daripada yang dinyatakan dalam ucapan belanjawan atau yang telah diperuntukkan.
“Apa yang dibelanjakan itu secara tidak langsung menjawab persoalan KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican).
“Berapa peruntukan yang ada? Mana ada bajet yang cantik. Mana mungkin KKDW akan membelanjakan bajet melebihi daripada apa yang dinyatakan dalam Ucapan Belanjawan atau apa yang diperuntukkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi pembukaan Bengkel Kerjasama Strategik Pusat Komuniti Desa (PKD) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid mempertikaikan kelewatan bayaran diterima bagi projek di bawah kementeriannya itu hingga menyebabkan ada syarikat yang terpaksa gulung tikar.
Namun, Johan menjelaskan tiada sekatan dikenakan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar seperti didakwa, sebaliknya kekangan pembayaran kepada kontraktor berpunca daripada lebihan komitmen berbanding peruntukan semasa.
Jelasnya, peruntukan jalan luar bandar KKDW sudah disalurkan sepenuhnya, namun kementerian itu sebelum ini membuat komitmen serta perbelanjaan melebihi jumlah peruntukan tahunan diluluskan.
