10 SEPT : Sebanyak 45 peratus kes penipuan yang dilaporkan di enam negara ASEAN masih gagal diselesaikan, meskipun pengguna semakin mengambil langkah untuk melindungi diri.
Menurut Laporan Penipuan Pengguna ASEAN GSMA 2026, kes berkenaan melibatkan Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Laporan yang didedahkan pada Sidang Kemuncak Amanah Digital di Kuala Lumpur itu mendapati kira-kira 8 peratus pengguna menjadi mangsa penipuan dalam tempoh 12 bulan lalu.
Daripada jumlah itu, 68 peratus kehilangan wang manakala 82 peratus tidak berjaya mendapatkan semula kerugian mereka.
Laporan itu menyebut, hanya 10 peratus mangsa memperoleh kembali keseluruhan wang yang hilang.
Menurut laporan itu lagi, kegagalan menyelesaikan kes turut menjejaskan kepercayaan pengguna terhadap saluran komunikasi, platform digital dan perkongsian data.
Keadaan itu mendorong sebahagian pengguna mengubah cara mereka menggunakan perkhidmatan digital serta bertindak balas terhadap komunikasi yang diterima.
Aplikasi pemesejan menjadi saluran paling kerap digunakan penipu dengan 41 peratus pengalaman penipuan dilaporkan berlaku menerusi platform berkenaan.
Penipuan juga semakin tertumpu kepada pelaburan, mata wang kripto, pembelian dalam talian dan tawaran pekerjaan yang memperdaya mangsa supaya memindahkan wang sendiri.