Helikopter terhempas di Sarawak layak terbang ketika kejadian
10 SEPT : Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Long Lellang, Baram, Sarawak, Selasa lalu mempunyai rekod kelayakan udara yang sah ketika kejadian.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata Perakuan Kelayakan Udara helikopter itu sah sehingga 4 Ogos 2027, manakala Perakuan Pendaftaran sah sehingga 28 Julai 2029.
Beliau berkata, pengendali helikopter, Layang Layang Aerospace turut menggantung operasi semua helikopter jenis BO105 serta pesawat lain dalam armadanya yang menggunakan enjin Rolls-Royce siri 250 sebagai langkah berjaga-jaga.
“Bagaimanapun tindakan itu adalah langkah keselamatan secara berjaga-jaga dan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai petunjuk yang enjin atau mana-mana komponen tertentu menjadi punca nahas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia 2026 (MASS’26), hari ini.
Dalam pada itu, Norazman berkata usia pesawat bukan penentu kelayakan udara selagi ia diselenggara mengikut program yang diluluskan serta terus memenuhi semua keperluan ditetapkan.
Katanya, CAAM kini memantau penggantungan operasi dan pemeriksaan yang dijalankan pengendali, selain mengesahkan semua rekod kawal selia berkaitan pesawat, pengendali dan juruterbang.
Dalam perkembangan sama, laporan awal nahas dijangka dikeluarkan dalam tempoh 30 hari selepas kejadian, selaras Lampiran 13 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Norazman berkata, laporan penuh pula dijangka dikeluarkan dalam tempoh setahun, manakala siasatan dijalankan secara bebas oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan.
“Pada peringkat ini, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi sama ada nahas berpunca daripada masalah teknikal, keadaan cuaca, faktor manusia atau faktor lain,” katanya.
Dalam kejadian Selasa lalu, helikopter FDS jenis BO105 yang membawa lima individu termasuk empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhempas berhampiran Lapangan Terbang STOL Long Lellang dan mengorbankan kesemua yang berada di dalam pesawat.
*Foto: Civil Aviation Authority of Malaysia