Anwar bidas PAS, dakwa cuba ‘menangguk di air keruh’ isu Najib
14 SEPT : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar PAS yang didakwa cuba menangguk di air keruh dalam isu berkait keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak.
Beliau menegaskan peranannya dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung kes bekas Perdana Menteri itu dibuat mengikut undang-undang dan panduan Peguam Negara.
Anwar turut menolak dakwaan konon wujudnya campur tangan atau ‘tangan ghaib’ berhubung perkara tersebut.
“PAS Ini sebenarnya dalam menangguk di air keruh (untuk) kepentingan dia. Dia patut faham peraturannya betul, sebab orang…Perdana Menteri, siapa pun harus ada suara memberikan pandangan berdasarkan hukum, berdasarkan nasihat daripada Peguam Negara dan peraturan. Itu saya lakukan.
“Tapi kita tahu juga ini berbicara tentang tanggungjawab dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan tentunya harus mengambil kira semua faktor.
“Kita masih banyak kes-kes yang kita ambil dalam soal rasuah dan agak laju… saya sendiri telah menekankan supaya lebih tegas soal Tabung Haji dan FELDA. Jadi jangan kita ambil soal personal satu persatu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Keralam, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut mempertikaikan pendirian PAS yang didakwanya tidak konsisten dalam isu rasuah.
“Ini soal PAS ni saya tidak kira sangat, tidak pernah konsisten. Dulu mereka yang paling keras.
“Bagi saya, saya tidak langsung komen dalam soal ini, tetapi seperti kita tahu ada masih kes berjalan dan kes itu telah mengundang perhatian dunia,” katanya.
Anwar yang kini berada di luar negara bagi lawatan kerja selama empat hari ke India merangkumi New Delhi dan Keralam yang tamat hari ini.
Beliau dijadual meneruskan perjalanan ke Malé, Maldives untuk lawatan rasmi selama dua hari.
*Foto : Pejabat Perdana Menteri Malaysia