23 SEPT : Pertikaian antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim berhubung saman fitnah berakhir secara baik selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Dalam penyelesaian itu, Awang Solahuddin bersetuju menarik balik kenyataan yang dibuatnya pada atau sekitar 21 Februari 2023 yang menjadi asas kepada tindakan saman berkenaan.
Beliau turut bersetuju untuk tidak mengulangi atau menerbitkan semula kenyataan sama atau yang mempunyai maksud serupa pada masa hadapan.
Persetujuan itu dimaklumkan kepada Hakim Roslan Mat Nor oleh peguam Anwar, Datuk SN Nair sebelum mahkamah membatalkan kes berkenaan tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.
“Kedua-dua pihak ingin merekodkan terma-terma yang dipersetujui. Sehubungan dengan itu, plaintif menarik balik tindakan guaman ini tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.
“Kedua-dua pihak melampirkan satu salinan kenyataan awam yang telah dipersetujui bersama dengan usul persetujuan ini.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada mahkamah dan rakan-rakan bijaksana. Saya mohon mahkamah melapangkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan,” katanya, lapor Astro Awani.
Peguam Awang Solahuddin, Yusfarizal Yussoff turut mengesahkan persetujuan berkenaan.
Dalam kenyataan awam yang dipersetujui kedua-dua pihak, mereka berkata keputusan menyelesaikan pertikaian itu dibuat selepas mengambil kira implikasi prosiding saman termasuk kos litigasi yang perlu ditanggung.
Kedua-dua pihak turut berpandangan terdapat perkara lebih besar dan penting yang wajar diberi keutamaan demi kepentingan rakyat dan negara.
Saman itu difailkan Anwar pada 3 Mac 2023 berhubung kenyataan Awang Solahuddin di lobi Parlimen ketika menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 21 Februari 2023.
Anwar mendakwa kenyataan yang dirakam dalam bentuk audio dan video serta didedahkan kepada umum itu membawa maksud beliau menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Beliau turut mendakwa kenyataan berkenaan memberi gambaran bahawa beliau mencampuri, mengganggu serta memberi arahan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan bagi mencapai agenda politik peribadi.
Menurut Anwar, kenyataan itu menjejaskan reputasinya sebagai pemimpin di Malaysia dan peringkat antarabangsa.