“Sejak bila mereka ada mandat? Anwar persoal tindakan MB, exco
23 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah keras tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan barisan exco negeri itu berhubung proklamasi penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Anwar menyifatkan tindakan berkenaan sebagai biadab dan tidak bertamadun, selain menegaskan tiada pihak dalam pentadbiran negeri mempunyai mandat untuk mempertikaikan kedudukan Raja.
“Menteri Besar dan exco yang membuat keputusan, ini langkah biadab, tidak ada tamadun dan saya bantah keras. Sejak bila mereka ada mandat nak pertikai kedudukan Raja?” katanya, lapor BH.
Beliau berkata demikian kepada media ketika berada dalam kereta api laju dari Shanghai menuju Hangzhou, hari ini.
Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan tidak campur tangan dalam urusan penurunan takhta itu, namun mempunyai tanggungjawab memastikan keselamatan negara serta institusi terus dipelihara.
Katanya, keputusan beliau menghadap Tuanku Muhriz baru-baru ini dibuat berdasarkan kedudukan baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah seperti diputuskan mahkamah.
“Saya hormati Undang, sebahagiannya saya kenal baik. Tapi dia kena faham, kita tak campur. Tapi kita kena jaga negara. Keselamatan negara, institusi, itu tanggungjawab kita. Jangan dia kata tak boleh campur, bukan campur.
“Tak boleh Undang buat keputusan, tapi Undang buat keputusan itu bukan mutlak, dia kena ikut juga peraturan. Sekarang kita dengar dua-dua, ada dua pihak, satu Undang kata dia Undang, ada Undang kata tak.
“Kita ada Luak dan pandangan kata sebaliknya. Jadi saya kata, putuskan dulu. Kalau semua Undang sudah ikut proses yang betul dan Undang dilantik dia buat keputusan, itu luar daripada bidang kuasa saya,” katanya.
Kemelut berhubung kedudukan Tuanku Muhriz tercetus selepas proklamasi bertarikh 19 April lalu yang mendakwa penurunan takhta baginda terus menjadi pertikaian.
Pada 17 September lalu, Ismail mengesahkan proklamasi itu diputuskan secara sebulat suara oleh exco negeri dan proses pewartaan diarahkan untuk diteruskan mengikut peraturan sedia ada.
Jabatan Peguam Negara menyatakan proklamasi 19 April tidak sah kerana didakwa tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
