8 NOV : Hantaran ucapan sempena perayaan Deepavali di laman Facebook Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, malam tadi dibanjiri komen kecaman.
Ia susulan perkembangan terbaharu berhubung penangguhan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ruangan komen pada hantaran bersempena perayaan itu dipenuhi dengan reaksi pengguna media sosial yang meluahkan rasa tidak puas hati dan mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung penangguhan pelaksanaan perintah tahanan rumah berkenaan.
Isu itu mencetuskan pelbagai reaksi selepas Najib dilaporkan masih ditempatkan di Penjara Kajang meskipun sudah melunaskan bayaran denda ditetapkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah sesuai pengampunan bersyarat diterima pada 18 September lalu.
AGC menangguhkan sementara pelaksanaan tersebut bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenan Sultan Ibrahim itu.
Menurut AGC, penangguhan dibuat susulan timbul persoalan perundangan berhubung tafsiran perintah itu, khususnya mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International.
AGC berkata, terdapat dua interpretasi perlu diberikan penelitian lanjut iaitu pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda dan hukuman penjara bagi kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028.
Kemudian, Istana Negara mengeluarkan kenyataan semalam menegaskan sebarang hujah yang mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat membabitkan Najib menjurus kepada tindakan mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Ibrahim bertitah, semua syarat yang ditetapkan dalam perintah pengampunan bersyarat itu sudah dipenuhi, justeru tiada alasan untuk mempertikaikan pelaksanaannya.
Pada 1 November lalu, Mohd Dusuki dilaporkan berkata Najib kekal di penjara selagi masih belum menjelaskan denda yang ditetapkan RM50 juta dan tiada had masa ditetapkan untuk bekas pemimpin UMNO itu untuk melunaskan bayaran tersebut.
Semalam, terdapat gesaan agar laporan polis dibuat terhadap Mohd Dusuki.
