23 SEPT : Keluarga besar Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Melaka menerima suntikan semangat apabila kerajaan negeri memperuntukkan sumbangan keseluruhan RM300,000 sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan warga pasukan keselamatan itu.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata daripada jumlah berkenaan, RM200,000 disumbangkan kepada pesara PDRM sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan golongan berkenaan.
Beliau berkata, bantuan berkenaan diberikan secara ‘one-off’ dan kerajaan negeri akan melihat ruang untuk membantu golongan pesara badan beruniform pada setiap tahun.
“Saya nak anda tahu, perhatian kerajaan negeri kepada keluarga besar PDRM tidak terhenti pada malam ini. Sebagai tanda penghargaan, malam ini saya beri sumbangan kepada anda sebanyak RM200,000.
“Saya minta maaf permintaan untuk peruntukan setiap tahun saya tak boleh buat sebab ramai pesara-pesara daripada badan beruniform ini tapi kita akan beri ‘one-off’ setiap tahun untuk saya lihat bagaimana saya boleh bantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pesara Polis Diraja Malaysia Negeri Melaka, malam tadi.
Pada majlis sama, Ab Rauf turut mengumumkan bantuan khas RM100,000 kepada Persatuan Polis Melaka.
Beliau berkata, bantuan itu diserahkan pada malam berkenaan tanpa perlu menunggu tempoh kelulusan atau proses berikutnya.
“Pada malam ini juga saya mengumumkan kepada Persatuan Polis Melaka akan menerima bantuan khas daripada saya bernilai RM100,000.
“RM100,000 ini tak perlu tunggu esok, tak perlu tunggu lusa, tak perlu tunggu 24 jam, saya ulang tak perlu tunggu 24 jam…saya bagi tuan-tuan malam ini juga.
“Jadi agihkan dengan tujuh persatuan polis ini sama rata, sama rasa. Mesti adil,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan itu diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada hubungan lebih erat antara kerajaan negeri dengan keluarga besar PDRM.
“Jadi saya harap ia menjadi pemangkin semangat untuk kita bersilaturahim, bukan ukuran untuk kita mengukur apa yang kita akan dapat tapi ikhlas daripada hati saya,” katanya.
