24 SEPT : Kemelut Negeri Sembilan memasuki episod baharu apabila pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) kini diwartakan secara rasmi pada Khamis.
Warta Kerajaan Negeri Sembilan bertarikh 24 September itu menyatakan pelantikan kesemua exco berkenaan dibatalkan berkuat kuasa 20 September oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, mengikut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Menurut warta itu, kesemua mereka mengangkat dan menandatangani sumpah serta ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos lalu sebelum mengambil tempat sebagai Exco Negeri Sembilan.
Warta berkenaan turut menyatakan pembatalan itu dibuat selepas kesemua 10 exco terbabit didapati melanggar ikrar taat setia yang dilafazkan.
“Dan bahawasanya memandangkan kalian telah melanggar ikrar taat setia tersebut maka, beta dengan ini menarik balik perkenan beta dan membatalkan pelantikan kalian sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan,” titah baginda seperti dinyatakan dalam warta berkenaan.
Warta itu turut memaklumkan berdasarkan Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 turut menyatakan seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selain Menteri Besar memegang jawatan selama diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Sepuluh exco terbabit ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.
Pada 16 September, barisan Exco Negeri Sembilan memutuskan secara sebulat suara bahawa proklamasi penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertarikh 19 April 2026 adalah sah.
Namun pada 17 September 2026, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan bahawa pentadbiran negeri tidak akan mewartakan atau mengambil tindakan pelaksanaan terhadap Proklamasi bertarikh 19 April 2026 berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Tuanku Muhriz kemudiannya membatalkan pelantikan kesemua exco berkuat kuasa, serta-merta pada 20 September lalu namun Menteri Besarnya, Datuk Ismail Lasim menegaskan kesemua exco tersebut masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.
Pada sidang media hari ini, Ismail menggesa pihak berkuasa menarik larangan exco daripada memasuki pejabat masing-masing.
