25 SEPT : Barisan Nasional (BN) Melaka dijangka memulakan rundingan dengan gabungan parti politik lain bagi mengintai ruang kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Pengerusinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan perkara itu, hari ini.
Namun beliau tidak menjelaskan dengan siapa rundingan itu akan dijalankan.
“Nak tanya pasal politik? Minggu depan kita runding,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sentuhan Kasih Pelajar Cemerlang SPM dan STPM Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2026 di Manipal University College Malaysia (Melaka Campus), hari ini.
Ketika ditanya soal bayangan calon yang mungkin disenaraikan bagi mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka menegaskan ia hanya akan diumumkan sebelum hari penamaan calon.
“Bayangan (calon) sebelum hari penamaan calon,” katanya.
Sebelum ini, Ab Rauf menegaskan pintu rundingan BN masih terbuka namun rundingan tidak berlaku melalui media sosial.
Bulan lalu, UMNO memberi kuasa penuh kepada Ab Rauf mengadakan rundingan kerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRN Melaka.
Kelmarin, DUN Melaka secara rasmi dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN ke-16 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Mohd Ali Rustam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan tarikh pengundian tidak lama lagi bagi PRN Melaka.