Malaysia tambah AS$1 juta bantu usaha kemanusiaan Palestin
25 SEPT : Malaysia menambah sokongan kepada usaha kemanusiaan di Palestin menerusi sumbangan AS$1 juta kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).
Sumbangan itu akan disalurkan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun sehingga 2030 dengan peruntukan AS$200,000 setiap tahun.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bantuan itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus menyokong rakyat Palestin ketika krisis kemanusiaan masih berlarutan.
“Kita perlu menyampaikan mesej yang jelas bahawa kenegaraan Palestin tidak boleh terus menjadi janji yang tertangguh.
“Oleh itu, Malaysia mahu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memperjuangkan pelaksanaan gencatan senjata serta-merta dan berkekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan intervensi pada Mesyuarat Penyelarasan Tahunan dan Menteri-Menteri Luar OIC di New York, hari ini.
Pada masa sama, Malaysia mahu perhatian masyarakat antarabangsa terus diberikan kepada nasib rakyat Palestin yang berdepan tekanan dan keganasan berterusan.
Antara perkara yang dibangkitkan termasuk keganasan peneroka di Tebing Barat, pengusiran rakyat Palestin di Baitulmaqdis serta tindakan yang boleh menjejaskan identiti bandar berkenaan dan tapak sucinya.
Malaysia juga menyeru negara anggota OIC memainkan peranan lebih besar dalam usaha melindungi rakyat Palestin, selain membantu proses pembinaan semula dan pengukuhan institusi negara itu.
Menurut Mohamad, sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa perlu dipertanggungjawabkan, termasuk dakwaan genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
“Memastikan pertanggungjawaban terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel, termasuk dakwaan genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, serta menuntut pampasan yang sewajarnya untuk rakyat Palestin,” katanya.
Beliau berkata, OIC perlu terus menggunakan peranannya untuk menterjemahkan sokongan terhadap Palestin kepada usaha konkrit bagi membolehkan rakyat negara itu menikmati sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan berdaya maju berdasarkan penyelesaian dua negara.