2 OKT : Selepas keahlian PKR digantung selama tiga tahun, Lee Chean Chung hari ini mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya tanpa syarat.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas menerima keputusan penggantungan keahlian pada 30 September lalu, selain mendakwa akses kepada peruntukan RM3 juta bagi kawasan Petaling Jaya sebelum ini disekat dan pengurusannya diambil alih melalui proses yang tidak telus.
Chean Chung berkata beliau tidak lagi boleh berbahas atau menyatakan pendirian dalam parti susulan penggantungan berkenaan.
“Adakah saya patut terus menerima gaji sebagai ahli Parlimen tetapi hanya duduk senyap seperti tunggul? Tidak.
“Justeru, saya, Lee Chean Chung, hari ini mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya tanpa syarat,” katanya pada sidang media khas, hari ini.
Chean Chung berkata, sepanjang berada dalam PKR, beliau lantang menyuarakan pelbagai isu termasuk Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar (URA), sistem pengambilan pekerja asing, cukai SST, kemasukan pemegang STPM ke universiti serta garis panduan RIBI Selangor.
Beliau mendakwa isu-isu berkenaan antara perkara yang menyebabkan dirinya digantung, namun menegaskan masalah rakyat tidak akan terhenti hanya kerana beliau diarahkan untuk berdiam diri.
Isu peruntukan Petaling Jaya sebelum ini turut dibangkitkan Chean Chung selepas aksesnya kepada sistem MyKhas disekat sejak penghujung Mei.
Beliau mendakwa baki RM3 juta bagi kawasan itu tidak lagi disalurkan melalui ahli Parlimen yang dipilih rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos pula menjelaskan peruntukan pembangunan kawasan tidak semestinya disalurkan melalui ahli Parlimen dan kerajaan boleh menyalurkannya terus kepada rakyat.
Dalam pada itu, Chean Chung turut mengkritik beberapa perkembangan dalam Kerajaan Perpaduan termasuk isu dakwaan mafia korporat, dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), reformasi institusi serta pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Beliau turut mempersoalkan hala tuju kerajaan selepas lebih tiga tahun berada dalam Kerajaan Perpaduan.
“Rakyat berhak bertanya, mengapa dahulu kita begitu marah terhadap rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kerosakan institusi, tetapi apabila peluang memegang kerajaan, standardnya berubah?” tanyanya.
Chean Chung berkata PKR merupakan parti politik pertama yang disertainya dan beliau menghabiskan 18 tahun dalam perjuangan parti itu.
Beliau bagaimanapun berkata tidak menyesal dengan perjalanan tersebut dan berterima kasih kepada PKR serta rakan seperjuangan yang masih percaya kepada politik bersih, reformasi institusi dan Malaysia yang meraikan kepelbagaian.
Bagi kawasan Petaling Jaya, Lee berkata pusat khidmatnya akan terus beroperasi seperti biasa walaupun beliau meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen.
Beliau turut berjanji akan terus bersama rakyat Petaling Jaya dan memperjuangkan isu kawasan itu.