2 OKT : Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Jawahir, Pengkalan Balak yang baru selesai kerja-kerja pembaikan dan kembali dibuka.
Ketua Menteri Melaka itu sempat bersalaman dan menyapa jemaah yang menunggu beliau di perkarangan masjid berusia lebih 100 tahun itu.
Masjid utama kariah Pengkalan Balak itu kini lebih selesa selepas kerja baik pulih bernilai kira-kira RM1.4 juta berjaya disiapkan, sekali gus menyelesaikan masalah kebocoran bumbung sebelum ini.
Masalah kebocoran bumbung sebelum ini antara isu utama yang dihadapi pihak pengurusan masjid berikutan faktor usia bangunan.
Kerja pembaikan pernah dilaksanakan secara berperingkat oleh jawatankuasa masjid dengan bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), namun kekangan kewangan menyebabkan pembaikan menyeluruh sukar dilaksanakan.
Sebelum ini beberapa kerja baik pulih ada dilakukan termasuk kami juga ada menerima bantuan daripada MAIM, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Namun, hasil bantuan dan inisiatif Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara, kerja baik pulih secara menyeluruh masjid ini berjaya dilaksanakan.
Selesai solat Jumaat, Ab Rauf menikmati makan tengahari bersama jawatankuasa masjid tersebut.
Terdahulu, Majlis Penyerahan Masjid Al-Jawahir Pengkalan Balak disempurnakan Ketua Menteri sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, dua minggu lalu.
