2 OKT : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan pemimpin politik agar tidak bergaduh, bertelagah atau berebut kuasa sehingga mencetuskan perpecahan.
Menurut kenyataan yang disiarkan Facebook Selangor Royal Office hari ini, baginda mahu segala usaha dan perhatian ditumpukan kepada pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat serta kebajikan golongan yang memerlukan pembelaan.
“Baginda berpesan agar para pemimpin politik tidak bergaduh, bertelagah atau berebut kuasa sehingga mencetuskan perpecahan sesama mereka.
“Sebaliknya, baginda mahu segala usaha dan perhatian hendaklah ditumpukan kepada pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat serta kebajikan mereka yang memerlukan pembelaan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, baginda juga menegaskan perbezaan pendirian dan fahaman politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama demi kepentingan negeri dan rakyat.
“Tanggungjawab kepimpinan hendaklah dilaksanakan dengan penuh amanah, dengan mendahulukan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi mahupun kelompok politik,” kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan sama turut menyebut kemajuan Selangor perlu disertai keharmonian masyarakat dan kestabilan pentadbiran.
“Justeru, para pemimpin hendaklah memelihara sikap saling menghormati serta mengutamakan perbincangan yang membina dalam menangani sebarang perbezaan,” menurut kenyataan tersebut.
Kenyataan itu disiarkan selepas Sultan Sharafuddin berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan baginda di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Baginda kemudian menunaikan solat Jumaat bersama rakyat jelata sebelum berkesempatan bertemu dan bersantap bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan dua bekas menteri besar, Mohamad Khir Toyo serta Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.