2 OKT : Peletakan jawatan Lee Chean Chung sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya tidak menjejaskan pelaksanaan projek pembangunan atau peruntukan untuk kawasan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek seperti pembinaan dan penyelenggaraan jalan, sekolah serta rumah ibadat akan terus dilaksanakan seperti dirancang.
“Kalau nak bangkitkan soal peruntukan… peruntukan kawasan tak terjejas. Sekolah, surau, masjid, kuil, jalan, apa-apa itu kita sudah pastikan projek berjalan.
“Tidak perlu ahli Parlimen. Dia nak bagi pandangan, kita boleh terima, tapi tidak bermaksud ahli Parlimen itu berhenti, projek juga terhenti. Tak betul,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan di Kuarters TUDM, Sungai Besi, hari ini.
Anwar sempat menzahirkan penghargaan kepada Chean Chung atas sumbangannya selama ini.
“Dah lama dah…baru tahu. Dia pun dah lama tak pernah hadir mesyuarat parti, kongres pun tak hadir.
“Jadi sesuailah kalau dah tak minat, tak ada masalah. Pergi dengan baik, terima kasih atas sumbangan selama ini,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan tindakan undang-undang berhubung peletakan jawatan berkenaan, Anwar berkata perkara itu diserahkan kepada Setiausaha Agung PKR dan Jawatankuasa Perundangan untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, Chean Chung mengumumkan peletakan jawatan tanpa syarat sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya menerusi satu sidang media.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas menerima keputusan penggantungan keahlian pada 30 September lalu, selain mendakwa akses kepada peruntukan RM3 juta bagi kawasan Petaling Jaya sebelum ini disekat dan pengurusannya diambil alih melalui proses tidak telus.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15, beliau memenangi kerusi Parlimen Petaling Jaya dengan majoriti 50,575 undi dalam pertandingan enam penjuru.
Pada 12 Jun lalu, Chean Chung turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkuat kuasa serta-merta selepas 18 tahun bersama parti.
