19 NOV : Barisan pentadbiran baharu Kerajaan Negeri Melaka menyaksikan gabungan lima penyandang dan lima muka baharu yang dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi penggal baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Istiadat angkat sumpah jawatan, taat setia serta sumpah simpan rahsia itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri, Kompleks Seri Negeri, hari ini.
Lima penyandang yang dikekalkan ialah Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh (Merlimau), Datuk Rais Yasin (Sungai Udang), Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman (Telok Mas), Datuk Fairul Nizam Roslan (Asahan) dan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (Ayer Limau).
Turut diberi kepercayaan menganggotai barisan pentadbiran negeri ialah lima muka baharu iaitu Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali (Ayer Molek), Datuk Wira Lim Ban Hong (Kelebang), S Nadarajah (Gadek), Datuk Khaidhirah Abu Zahar (Rim) dan Muhammad Ridzuan Mohd Sarif (Bukit Katil).
Daripada senarai berkenaan, sembilan Exco mewakili Barisan Nasional (BN), manakala seorang daripada Perikatan Nasional (PN).
Ridzuan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS merupakan wakil pertama daripada parti Islam itu yang pernah dilantik menyertai kabinet Melaka.
Majlis itu turut disaksikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Khairul Azreem Mamat dan Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Halim Tawil.
Ab Rauf ketika menyampaikan Ucapan Taat Setia pada majlis itu berkata kepercayaan itu bukan sekadar satu penghormatan, tapi amanah besar yang akan dijunjung dengan penuh kesetiaan, dipikul dengan kejujuran dan ditunaikan dengan setiap tanggungjawab.
Beliau sempat mengingatkan barisan Exco dilantik bahawa ikrar yang dilafaz hari ini merupakan amanah dan mengutamakan kepentingan rakyat.
“Ingatlah ikrar yang dilafazkan hari ini bukan sekadar ikrar di bibir tetapi janji yang terpahat pada amanah, janji untuk berlaku adil, berkhidmat dengan jujur dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya.
“Kita adalah kerajaan untuk seluruh rakyat Melaka tanpa mengira kaum, agama, latar belakang mahupun perbezaan pemahaman politik. Mandat baharu ini bukan tiket untuk kita rasa selesa sebaliknya tanggungjawab untuk kita bekerja lebih kuat, pantas dan berkesan.
“Apa yang baik kita perhebat, apa yang kurang kita perbaiki dan apa yang belum selesai, kita tuntaskan,’ katanya.

Senarai Exco dan Timbalan Exco MMKN Negeri Melaka mengikut portfolio:
Perancangan Ekonomi, Kewangan, Tanah, Pelaburan dan Industri
1. Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh
Timbalan Exco
1. Datuk Noor Helmy Abdul Haleem
2.Datuk Ngwe Hee Sam
Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital
1.Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh
2.Ahmad Nor Azril Abd Aziz (timbalan)
Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup
1.Datuk Rais Yasin
2.Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid (timbalan)
Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa
1.Datuk Abdul Razak Abdul Rahman
2. Jazlee Pit (timbalan)
Pelancongan, Warisan, Budaya dan Perpaduan
1.Datuk Dr Fairul Nizam Roslan
2.Datuk Azman Abdullah (timbalan)
Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET
1.Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali
2. Datuk Tuminah binti Kadi @ Mohd Hasim (timbalan)
Kesihatan dan Modal Insan
1.Datuk Lim Bang Hong
2.Datuk Zulkiflee Mohd Zin (timbalan)
Belia, Sukan dan NGO
1.Nadarajah Sellappa
2.Rafie Ahmad (timbalan)
Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti
1. Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer
2.Datuk Dr Mustafa Musa (timbalan)
Wanita, Keluarga dan Masyarakat
1.Datuk Khaidhira Abu Zahar
2.Siti Aisyah Mahmood (timbalan)
Pertanian, Alam Sekitar dan Pengurusan Bencana
1.Muhammad Ridzuan Mohd Sarif
2. Datuk Rosli Abdullah (timbalan).