Malaysia perlukan 111 tahun selesaikan isu pelarian
KUALA LUMPUR, 30 Nov -- Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. Beliau berkata purata trend kehadiran murid ke sekolah sejak sekolah dibuka bermula 3 Oktober lalu hingga semalam adalah melebihi 85 peratus. Sebanyak 10,060 sekolah sedang beroperasi di seluruh negara, membabitkan lebih 4.38 juta murid. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
19 NOV : Malaysia mungkin mengambil masa sehingga 111 tahun untuk mengatasi masalah 225,000 pelarian di negara ini jika proses menghantar balik ke negara ketiga diteruskan pada kadar 2,000 orang, setahun.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, angka itu berdasarkan jumlah hanya 974 pelarian dihantar ke negara ketiga bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
“Kalau kita ada 225,000 orang pelarian, separuh tahun hantar 974, katakanlah setahun hantar 2,000 orang, kita perlukan 111 tahun nak hantar mereka balik.
“Ini tak masuk akal. Sebab itu saya kata, UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian) selama ini terlalu mengambil mudah kerana Malaysia membuka ruang, seolah-olah tak apalah, masuklah,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Justeru itu, beliau menegaskan UNHCR perlu memainkan peranan lebih besar dalam mencari penyelesaian terhadap isu tersebut, bukannya membiarkan Malaysia terus menanggung beban pengurusan pelarian.
Beliau berkata, kerajaan juga tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada mekanisme penghantaran semula ke negara ketiga, sebaliknya memanfaatkan saluran diplomasi untuk membolehkan penghantaran pulang ke negara asal dilaksanakan.
“Kita tidak perlu takut dengan tekanan dunia kalau nak hantar balik ke negara asal. Dunia yang menekan kita ini, sepatutnya mengambil mereka yang kita nak hantar balik ini.
“Ini kita diletakkan dalam keadaan seolah-olah bila kita nak hantar balik, dunia tekan kita, kita takut. Apa nak takut? Ini kedaulatan negara,” katanya.
Mohd Radzi berkata, platform diplomasi serantau termasuk ASEAN dan saluran antarabangsa perlu dimanfaatkan bagi merangka penyelesaian lebih menyeluruh.