4 OKT : Seorang pelajar Tingkatan Empat ditemui maut disyaki dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, semalam.
Mangsa, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16 ditemui rakan dan neneknya, Jameyah Rabani, 65 dalam keadaan terbaring dan tidak berdaya di dewan sekolah kira-kira jam 5.30 petang.
Menurut Jameyah, rakan cucunya itu menjerit meminta dia datang ke dalam dewan segera selepas menemukan Irene berlumuran darah.
“Saya tengah sidai kain dan ada dua kawannya datang cari. Saya kata dia tak balik lagi, pergi tuisyen.
“Tapi saya pergi sekolah cari-cari dia, jumpa dah lemah. Saya dapat jumpa dia sekejap. Dia angkat tangan gitu, geleng-geleng kepala, sempat ajar dia mengucap. Tapi dia dah tak boleh bercakap.
“Kawan arwah yang jumpa. Dia jerit ‘mak cik cepat, dah berdarah-darah!’,” katanya.
Difahamkan mangsa menghadiri kelas tambahan pada jam 2 petang yang berakhir pada jam 5 petang.
Mengikut laporan media, kesan kecederaan pada badan mangsa dipercayai akibat objek keras.
Sementara itu, tiga pelajar lelaki sekolah tersebut ditahan selepas disyaki ada kaitan dengan kes pembunuhan Irene.
Seorang daripada pelajar terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat untuk mendapatkan perintah reman, pagi ini.
Mangsa tinggal bersama neneknya di Kampung Parit Selamat, Yong Peng sejak berusia 9 tahun selepas kematian ibunya akibat kanser dan bapa mangsa bekerja di Kuala Lumpur.
Menurut keluarganya, Irene bercita-cita menjadi seorang doktor kelak seperti arwah ibunya yang pernah berkhidmat di Hospital Serdang.