4 OKT : Kehilangan anak secara mengejut akibat ditikam pelajar lain di sekolah bukan sahaja meninggalkan kesedihan mendalam malah sukar untuk diterima sehingga kini.
Justeru itu, keluarga pelajar Tingkatan Empat, Yap Shing Xuen, 16 yang maut dalam kejadian di sebuah sekolah pada 14 Oktober lalu mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman sivil terhadap 18 pihak, termasuk kerajaan.
Memetik laporan Malay Mail, saman itu turut mendakwa tragedi berkenaan boleh dielakkan jika keluarga remaja lelaki yang didakwa terlibat, pihak berkuasa sekolah serta agensi kerajaan mengambil langkah pencegahan sewajarnya.
Dalam dokumen mahkamah, Lee Ping mendakwa remaja berkenaan menunjukkan masalah kesihatan mental sekurang-kurangnya sejak 2020.
“Defendan pertama (remaja lelaki itu) telah menunjukkan masalah kesihatan mental sekurang-kurangnya sejak 2020.
“Adalah munasabah untuk dijangka oleh defendan kedua dan ketiga (ibu bapa remaja berkenaan) bahawa anak mereka mempunyai masalah kesihatan mental dan boleh mendatangkan ancaman kepada dirinya sendiri serta orang lain.
“Perkara sama juga terpakai kepada defendan keempat dan kesembilan (pihak berkuasa sekolah) apabila remaja itu mendaftar di sekolah berkenaan pada atau sekitar 2024,” katanya.
Antara 18 defendan dinamakan ialah remaja lelaki terbabit bersama ibu bapanya, guru kelas, pengetua serta guru yang bertanggungjawab dalam kaunseling dan hal ehwal murid.
Turut dinamakan ialah pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Utama, Pengarah Pendidikan Selangor, Ketua Pengarah Pendidikan, Menteri Pendidikan, Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan dan Guru, Ketua Pengarah Kesihatan, Menteri Kesihatan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kerajaan Malaysia.
Sebagai pentadbir harta pusaka, Lee Ping turut menuntut ganti rugi khas RM120,602 bagi kos pengebumian Shing Xuen daripada semua defendan secara bersama dan berasingan.
Beliau turut menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir Mahkamah Tinggi serta apa-apa relif lain yang difikirkan wajar dan sesuai oleh mahkamah.
Dalam tuntutan itu, Lee Ping mendakwa kedua-dua ibu bapa remaja terbabit gagal menjalankan tanggungjawab sewajarnya, termasuk memastikan remaja berkenaan menerima rawatan perubatan yang sesuai.
Beliau turut mendakwa pihak berkuasa sekolah dan agensi kerajaan terbabit cuai dalam melaksanakan dasar berkaitan, termasuk langkah untuk mengesan masalah kesihatan mental pada peringkat awal.
Pada 14 September 2026, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan dan melepaskan remaja lelaki berusia 15 tahun itu daripada pertuduhan membunuh Yap Shing Xuen selepas mahkamah mendapati dia tidak waras ketika kejadian.
Hakim Adlin Abdul Majid menerima pembelaan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan selepas keterangan pakar psikiatri mendapati remaja berkenaan mengalami skizofrenia serius sehingga mengalami psikosis ketika kejadian.
Mahkamah bagaimanapun memerintahkan remaja itu menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta sehingga keputusan lanjut dibuat dengan perkenan Sultan Selangor.
Pada 14 Oktober tahun lalu, Shing Xuen maut ditikam seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di SMK Bandar Utama Damansara (4), Bandar Utama, Petaling Jaya pada jam 9.10 hingga 9.30 pagi, berhampiran tandas perempuan sekolah.