5 OKT : Pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang ditemukan tidak sedarkan diri di dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Sabtu lalu, disahkan meninggal dunia akibat trauma tumpul di kepala.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, perkara itu disahkan menerusi bedah siasat yang dijalankan pakar patologi Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, semalam.
“Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun ditangkap pada Sabtu lepas dan permohonan reman dibenarkan selama enam hari sehingga 9 Oktober bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek merupakan rakan sekelas mangsa.
Irene Sofiya sebelum itu ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di dewan sekolah berkenaan kira-kira 5.50 petang Sabtu lalu.
Remaja terbabit ditahan sekitar 7 malam hari sama di sekitar Yong Peng, kira-kira sejam selepas polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu.
M Kumar berkata pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi membantu siasatan.
“Pihak sekolah serta KPM memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam siasatan kes itu.
“Polis turut memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen ‘cover-up’ atau melindungi mana-mana pihak,” katanya.
Menurutnya, siasatan masih berjalan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau mengeluarkan komen yang boleh mengganggu proses siasatan serta memanipulasi fakta sehingga menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.