12 OKT : Isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan terus menjadi polemik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Terbaharu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencabar Pakatan Harapan (PH) susulan tindakan gabungan itu yang cuba mengheret kerajaan negeri ke mahkamah.
Beliau mempersoalkan pendirian PH yang membantah pindaan Perlembagaan Negeri Melaka bagi membolehkan pelantikan sehingga tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sedangkan pelantikan seumpama itu turut dilaksanakan di Sabah dan Pahang.
Akmal berkata, PH sepatutnya mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-dua kerajaan negeri berkenaan sekiranya menganggap pelantikan ADUN lantikan bercanggah dengan Perlembagaan.
“Saya nak tanya juga, dekat Sabah ada ADUN lantikan juga daripada Pakatan Harapan. Lepas itu, dekat Pahang, yang ini pun ada ADUN lantikan daripada Pakatan Harapan.
“Ketika di Sabah dan juga di Pahang ini boleh terima pula tapi dekat Melaka tak boleh dah. Tak jadi kawan dah tak boleh terima pula. Sebab apa? Nak dekat pilihan raya, lupa.
“Jadi saya minta juga kepada YB-YB DAP dan juga dalam Pakatan Harapan ni dari seluruh Malaysia pun tak apa, tolong saman negeri Sabah, tolong saman Kerajaan Pahang, tolong samanlah,” katanya dalam kenyataan melalui video, hari ini.
Akmal juga membangkitkan persoalan mengenai pendirian Pengerusi PH Melaka, Datuk Seri Adly Zahari yang didakwa pernah mencadangkan pelaksanaan ADUN lantikan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini.
“YB yang mencadangkan untuk mewujudkan ADUN lantikan, siap letak dalam posting dan sebagainya, dah keluar berita dan sebagainya. Tapi bila DAP berdehem sikit je, YB terus pusing tak setuju,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong mengesahkan beliau bersama Adly memfailkan saman bagi mencabar kesahihan pindaan Perlembagaan Negeri Melaka berkaitan ADUN lantikan.
Khoo berkata, saman itu difailkan pada 8 Oktober lalu susulan pindaan yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 14 Julai dan diwartakan pada 27 Ogos.
Beliau berkata, pihaknya berpandangan pindaan yang membolehkan kerajaan negeri melantik sehingga tujuh ADUN itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan Negeri Melaka.
Menurutnya, tindakan undang-undang itu bertujuan mendapatkan keputusan mahkamah berhubung kesahihan pindaan berkenaan.
Khoo turut menjelaskan pihaknya sudah memutuskan untuk membawa perkara itu ke mahkamah selepas pindaan diluluskan, namun perlu menunggu sehingga ia diwartakan dan dipaparkan di laman web rasmi kerajaan negeri.
“Jadi sebaik kita lihat dia dah paparkan dalam laman web rasmi mereka, maka kita mulakan dengan tindakan mahkamah ini. Bukanya kerana pilihan raya nak sampai baru kita nak ambil tindakan ini,” katanya.