Integriti pasukan pertahanan tidak boleh dikompromi – Anwar
27 NOV : Integriti pasukan keselamatan dan pertahanan negara tidak boleh dikompromi, terutama dalam memastikan kedaulatan serta keselamatan Malaysia terus terpelihara, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pasukan ketenteraan perlu mempunyai pertahanan yang kukuh dan integriti tinggi bagi memastikan kepercayaan terhadap institusi keselamatan negara tidak terjejas.
“Bahagian ketenteraan kita itu, pertahanan mesti kental, integriti harus ada.
“Tak sekonyong-konyong timbul segala soal rasuah, penyeludupan dadah, penggunaan jet dan pesawat tentera untuk menyeludup dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI yang menampilkan Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, Sheikh Prof Dr Ali Muhyiddin Al-Qarahdaghi sebagai tetamu di Kompleks Seri Perdana, malam ini.
Anwar berkata, kerajaan MADANI akan terus mengambil tindakan keras terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam rasuah dan penyeludupan dadah, meskipun menyedari pendirian itu boleh menyukarkan kedudukan kerajaan pimpinannya.
“Jadi kita tentu ambil tindakan yang keras. Bila kita ambil tindakan keras menentang rasuah, jangan anggap ini mudah.
“Kedudukan kerajaan, apa lagi Perdana Menteri akan lebih sukar bila keras menentang rasuah daripada 1MDB (1Malaysia Development Berhad) kepada FELDA (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan), Tabung Haji dan penyeludupan dadah,” katanya.
Pada 17 November lalu, 11 individu terdiri daripada lima pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta enam orang awam ditahan dalam operasi di Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah menggunakan aset TUDM.
Polis turut merampas 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai RM4.83 juta serta 6.98kg bahan kimia dalam operasi berkenaan.
Tiga pegawai dan tiga orang awam didakwa di mahkmah, hari ini.
Terbaharu, seorang lagi pegawai TUDM ditahan yang bertugas di Pangkalan Udara Subang.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan rakyat supaya tidak terlalu leka dengan keamanan yang dinikmati negara ketika ini, sebaliknya perlu mengambil tahu perkembangan geopolitik antarabangsa.
Beliau berkata, masyarakat tidak seharusnya menganggap Malaysia bebas daripada ancaman luar, terutama ketika ketegangan antara kuasa besar berpotensi memberi kesan kepada rantau ini.
“Tentunya mengundang masalah apabila orang tidak langsung ada kefahaman tentang geopolitik, tentang ketegangan dua kuasa besar yang mahu menjadikan rantau ini dan Malaysia sebagai pangkalan mereka.
“Kita belajar daripada pengalaman negara Teluk. Tidak siapa jangka dua tahun lalu bahawa negara Teluk akan menjadi tempat pertarungan hebat. Jadi ana (saya) bukanlah mengatakan untuk menakutkan rakyat tetapi kita ini mesti siap siaga,” katanya.
