27 OKT : Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) maut, manakala tiga lagi cedera ketika menjalankan operasi pemantauan dan kawalan sempadan di perairan Sungai Padang, Kangar, tengah malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu berlaku ketika keempat-empat anggota terbabit sedang menjalankan tugas operasi.
Allahyarham Laskar Kanan Maritim (Teknikal), Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan merupakan anggota Unit Perisikan, Ibu Pejabat Maritim Kedah dan Perlis.
Difahamkan Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua anak berusia 14 dan 11 tahun.
Dijangka jenazah Allahyarham yang kini berada diJabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) akan dibawa pulang ke kediamannya di Taman Bersatu, Kuala Nerang, Kedah, selepas proses bedah siasat selesai.
Jenazah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai kejadian yang berlaku termasuk punca kejadian dan keadaan tiga anggota yang cedera, belum diperoleh setakat ini.
Sementara itu, Ketua PengarahMaritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menyampaikan ucapan takziah mewakili seluruh warga Maritim Malaysia kepada keluarga Allahyarham
“Ketua Pengarah serta seluruh warga Maritim Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi bin Mohd Ridzuan, anggota Unit Perisikan, Ibu Pejabat Maritim Kedah dan Perlis yang telah kembali ke rahmatullah pada 27 Oktober 2026.
“Seluruh warga Maritim Malaysia mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta para solihin,” menurut satu hantaran di Facebook rasmi agensi itu.
Beliau juga berdoa agar seluruh ahli keluarga Allahyarham diberikan ketabahan, kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan itu.