28 OKT : Timbalan Mufti Pahang, Datuk Dr Badli Shah Alauddin mendakwa beliau diberi tempoh tiga hari oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pahang untuk menjelaskan ceramahnya yang menyentuh isu generasi ‘strawberi’ selepas menerima aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
Beliau mendedahkan perkara itu ketika menyampaikan kuliah duha di Masjid FELDA Kampung Sertik, Bentong, pada 18 Oktober lalu menerusi rakaman video yang dikongsikan di YouTube.
Badli Shah meluahkan rasa kecewa apabila ceramah mengenai topik berkenaan turut menyebabkan beliau perlu memberikan penjelasan kepada pihak terbabit.
“Saya tak ada nak cerita hal strawberi, saya jadi menyampah nak cerita. Tuan-tuan tahu, saya kena SISPAA tajuk tu?
“Punyalah teruk masyarakat, saya kena jawab. Saya diberi masa tiga hari oleh pihak SUK untuk jawab, kenapa saya ceramah tajuk tu. Malas ceritalah,” katanya.
Ceramah beliau mengenai generasi strawberi sebelum ini tular di media sosial.
Dalam ceramah itu, Badli Shah menyifatkan sebahagian anak muda sebagai kurang berdaya tahan apabila berdepan tekanan, teguran dan cabaran kehidupan.
“Ini lembik. Sikit-sikit healing, sikit-sikit self-reward. Kena tegur sikit, toxic workplace. Kerja banyak sikit, burn out. Lailahaillallah! Generasi strawberi. Hidup macam tak ada tuhan.
“Manja…dah lah manja, lembik, tak boleh ditekan, salah picit pecah. Itu yang generasi sekarang ini. Tuan janganlah menekan-nekan tuan. Strawberi! Tak boleh kena tekan.
“Tak resilient, fragile, lembik (dan) manja. Kena marah sikit, sergah sikit, koyak rabak, berhenti kerja dah. Budak sekarang fikir pendek tuan-tuan,” katanya.
Namun, Badli Shah menegaskan beliau bukan menolak kepentingan penjagaan kesihatan mental, malah memaklumkan penglibatannya dalam beberapa program berkaitan bidang itu.
Beliau berkata, kesihatan mental perlu diberikan perhatian, namun pada masa sama individu juga perlu membina ketahanan diri ketika menghadapi cabaran.
“Maka hidup ni tuan-tuan, kesihatan mental perlu dijaga, tapi kekuatan mental juga perlu dibina.” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa tidak semua kesukaran yang dialami seseorang perlu dianggap sebagai masalah kesihatan atau diberikan label klinikal.
“Kita jangan over-pathologizing normal discomfort, ni pandangan saya. Maksudnya kadang-kadang kita terlalu cepat memberi label klinikal kepada kesusahan hidup yang sebenarnya normal.
“Tidak semua itu adalah penyakit. Sebahagiannya adalah pengalaman menjadi manusia. Sebahagiannya adalah kematangan yang melahirkan perkara-perkara yang hebat akan datang,” katanya.
Beliau mengakhiri tegurannya dengan menyeru masyarakat supaya belajar daripada kesilapan dan menjadikan pengalaman sukar sebagai proses membina kematangan diri.
“Kita semua hari ini adalah produk daripada orang yang pernah buat silap, kita belajar, kita adjust, kita jadi lebih baik. Kita sebahagian daripada proses itu, resilient kita. Jangan jadi strawberi, jadi Musang King!” katanya.