28 OKT : Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning bakal menikmati kemudahan jalan raya lebih baik menerusi peruntukan RM36 juta untuk melebarkan laluan ke Tol Simpang Ampat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata projek berkenaan antara langkah memperbaiki kemudahan infrastruktur di kawasan itu, terutama bagi mengurangkan kesesakan yang kerap berlaku di laluan menuju ke tol berkenaan.
“Apabila kita kuat, apabila kita sepakat dan berjaya menterjemahkannya dalam peti undi, kita dapat terus membina pembangunan dan keharmonian di Taboh Naning,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) P134 Parlimen Masjid Tanah di Kampung Pulau, Masjid Tanah, malam tadi.
Majlis itu dirasmikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, pembangunan Taboh Naning turut boleh dipacu melalui sektor pendidikan dan pertanian, mengambil kira kewujudan institusi pengajian tinggi serta pusat latihan pertanian di kawasan berkenaan.
Mengulas mengenai pengurusan bencana, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada usaha memulihkan kemudahan awam secepat mungkin apabila berlaku kejadian seperti banjir dan tanah runtuh.
Katanya, penggunaan jambatan Bailey menjadi penyelesaian sementara bagi memulihkan laluan yang terputus akibat banjir, manakala kerosakan infrastruktur susulan kejadian cerun runtuh turut dibaiki dalam tempoh singkat.
Ab Rauf berkata, keupayaan bertindak segera dalam menangani kerosakan infrastruktur penting bagi memastikan penduduk dapat meneruskan urusan harian tanpa gangguan berpanjangan.