29 OKT : MCA bersetuju bertanding di dua kerusi yang diperuntukkan Barisan Nasional (BN) kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini, dengan memberi tumpuan kepada usaha memastikan kemenangan gabungan berkenaan.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan itu dibuat Majlis Presiden MCA selepas perbincangan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkan memahami pandangan serta menghormati pendirian parti itu.
Beliau berkata, MCA akan meneruskan kerjasama dengan UMNO dan parti komponen BN lain bagi menghadapi PRN berkenaan, berlandaskan hubungan yang sudah terjalin sekian lama.
“Yang lebih penting, Pengerusi BN memberi jaminan dan saya yakin apa yang sudah difahami beliau akan diterjemah dalam beberapa perkara atau tindakan yang akan diambil bersama. Jadi saya rasa setakat ini kita akan memberi tumpuan kepada PRN Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden MCA di Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini, MCA menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pembahagian kerusi BN bagi PRN Melaka selepas gabungan itu mengumumkan calon bagi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 24 Oktober lalu, dengan hanya dua kerusi diperuntukkan kepada MCA.
Pengumuman itu mencetuskan bantahan apabila Ka Siong bersama beberapa pemimpin MCA meninggalkan majlis berkenaan kerana mendakwa rundingan pembahagian kerusi belum dimuktamadkan dan parti itu tidak dirujuk sewajarnya.
Pada PRN Melaka 2021, MCA bertanding di tujuh kerusi dan memenangi dua daripadanya, iaitu Machap Jaya dan Klebang. Kedua-dua kerusi itu kembali diperuntukkan kepada parti berkenaan pada PRN kali ini.
Mengulas perkembangan rundingan dengan kepimpinan BN, Ka Siong berkata, beliau menerima jaminan bahawa kepentingan masyarakat Cina, khususnya melalui MCA akan terus diberi perhatian dalam kerajaan negeri.
“Kita diberi jaminan bahawa representasi masyarakat Cina khususnya MCA tidak akan dipinggir dan akan berperanan yang dengan lebih baik.
“Saya nampak kita sudah ada strategi untuk melakukan sesuatu pengubahsuaian. Ini juga jaminan TPM untuk memastikan penyertaan kaum Cina dalam kerajaan negeri ini tidak akan dipinggirkan dan sama-sama dapat mendukung cita-cita serta perjuangan BN,” katanya.
Menurutnya, keutamaan MCA ketika ini adalah menyusun gerak kerja bersama bagi memastikan BN memperoleh kemenangan dan dapat membentuk kerajaan negeri yang kuat serta seimbang.
“Jadi, pada waktu ini, paling penting memastikan kita mengatur gerak kerja. Tak ada benda lebih penting daripada kemenangan ini bagi membolehkan kita membentuk kerajaan yang kuat dan seimbang,” katanya.