28 OKT : Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing meningkat sebanyak 10 sen seliter, manakala harga runcit diesel tanpa subsidi meningkat sebanyak 20 sen seliter bagi tempoh 29 Oktober hingga 4 November 2026.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan harga RON97 kini RM4.90 seliter, RON95 RM4.42 seliter dan diesel RM5.27 seliter.
Menurut MoF, harga minyak mentah Brent meningkat pada minggu lalu berikutan kebimbangan terhadap risiko gangguan bekalan di Asia Barat, sebelum menyederhana sedikit pada penghujung tempoh pengiraan Automatik Pricing Mechanishm (APM)/
“Di pasaran serantau, harga diesel bertapis di Singapura turut meningkat, manakala pergerakan harga petrol lebih bercampur. Stok produk petroleum tertentu di Singapura juga berkurangan, namun bekalan dari Asia Timur Laut dijangka kekal stabil,” menurut MoF dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, MoF berkata perkembangan konflik di Asia Barat termasuk ancaman terhadap infrastruktur tenaga dan laluan perkapalan terus menimbulkan kebimbangan terhadap kelancaran bekalan petroleum.
“Harga petroleum dunia dijangka kekal tidak menentu dalam jangka sederhana,” menurut kementerian itu lagi.
Dalam pada itu, MoF berkata Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global ini, termasuk melalui subsidi bersasar BUDI MADANI.
“Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027, subsidi bahan api dijangka kekal tinggi sekitar RM40 bilion pada tahun hadapan bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat,” menurut MoF.
Menurutnya, pada harga semasa, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.42 seliter sekali gus meyaksikan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.43 seliter, bersamaan 55% daripada harga tanpa subsidi.
Sementara, penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.27 seliter dengan subsidi kerajaan sebanyak RM3.17 seliter atau 60% daripada harga tanpa subsidi.
“Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” katanya.