28 OKT : Kesemua 21 calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selesai melafazkan baiah sebelum menandatangani empat dokumen aku janji, sumpah dan perjanjian dengan parti, hari ini.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook.
“Petang ini semua 21 calon-calon Pilihan Raya Negeri Melaka melafazkan baiah kepada Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan menandatangani empat dokumen aku janji bersumpah dan perjanjian dengan parti,” katanya.
Acara itu berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), tengah hari tadi.
Perkembangan itu menyusul selepas isu melibatkan rakan komponennya, MCA menjadi tumpuan.
Pagi tadi, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bertemu Ahmad Zahid di Parlimen sebelum mengadakan mesyuarat bersama pimpinan tertinggi partinya.
Difahamkan, MCA akhirnya bersetuju menerima agihan dua kerusi untuk ditandingi pada PRN berkenaan.
Ahmad Zahid berkongsi sekeping fambar berjabat tangan dengan Ka Siong turut dengan kapsyen, “Don’t worry. All is well. Kita Geng Biru”.
Sementara itu, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, mengesahkan isu MCA sudah selesai dirunding.
Sebelum ini, BN mengumumkan akan bertanding di 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, dengan lapan muka baharu diketengahkan bagi menghadapi PRN kali ini.
Daripada keseluruhan kerusi itu, dua ditandingi MCA dan satu kerusi untuk MIC sementara tujuh lagi kerusi diserahkan kepada rakan strategiknya, PAS-Perikatan Nasional.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian.
