1 NOV : Bersatu tidak meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 meskipun sudah mengumumkan calon bagi kerusi berkenaan pada 29 Oktober lalu.
Bakal calonnya, Mohd Zamri Abu Bakar didakwa menarik diri dan tidak hadir pada hari penamaan calon, semalam.
Tindakan Ketua Penaja Bersatu Bahagian Alor Gajah itu menimbulkan persoalan hingga menyebabkan partinya itu hanya bertanding di tujuh kerusi berbanding lapan yang diumumkan pada hari pengumuman calon di Klebang.
Namun, satu perkongsian poster di Facebook yang dimuat naik kenalan Mohd Zamri dan dikongsinya semula merungkai persoalan berkenaan.
Poster yang memaparkan gambar janaan kecerdasan buatan (AI) Mohd Zamri itu membawa mesej penghargaan kepada beliau sebagai pemimpin muda yang berjiwa besar kerana memilih untuk tidak bertanding demi perpaduan parti.
Sementara dalam satu laporan Melaka Digest yang memetik sumber tempatan, Mohd Zamri didakwa bertindak demikian kerana tidak sanggup menjadi ‘kuda tunggangan DAP, yang merupakan parti komponen dalam PH.
Sumber rapat pula dipetik berpendapat atas alasan kerjasama maka tidak logik untuk Bersatu dan DAP bertanding di kerusi yang sama.
Sumber itu juga mendakwa tindakan mencalonkan Mohd Zamri di situ bagi memecahkan undi Melayu.
Mengikut semakan di laman sesawang rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kerusi itu menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).
BN mencalonkan muka baharu, S Nadarajah daripada MIC untuk mempertahankan kerusi itu yang dicabar Jegasilan Kungamboo (DAP-PH), B Laveen (BERSAMA) dan Laila Norinda Maon (PUTRA).
Terdahulu, beberapa jam sebelum pengumuman calon Bersatu bagi PRN Melaka, Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama lima ahli Parlimen parti itu memeterai Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) dengan Kerajaan MADANI di Bangunan Parlimen.
Perjanjian itu melibatkan sokongan Ahli Parlimen Bersatu terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga akhir penggal, termasuk Belanjawan 2027.
Muhyiddin berkata, kerajaan turut bersetuju menyediakan peruntukan pembangunan kepada wakil rakyat Bersatu yang terbabit dalam perjanjian itu, pada kadar sama seperti diterima Ahli Parlimen kerajaan.
