6 NOV : Kerjasama strategik Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Melaka menyukarkan Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan kerusi tradisinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN), kali ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata menjadi cabaran utama buat PH apabila kedua-dua gabungan itu tidak berlawan sesama sendiri.
“Memang satu cabaran apabila mereka menggabungkan kekuatan masing-masing kerana kedua-duanya mempunyai sokongan tradisi dan kawasan penyandang tersendiri.
“Apabila mereka tidak bertanding antara satu sama lain dan meminta penyokong masing-masing memberikan sokongan kepada calon mereka, sudah tentu ia menjadi satu kekuatan yang memberi cabaran kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Malam HARAPAN di Sekolah Tinggi Pay Fong, malam tadi.
Namun, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata DAP dan PH menumpukan kepada usaha untuk mempertahankam empat kerusi dimenangi sebelum ini.
“Kita akan berusaha mempertahankan kerusi-kerusi yang kita menangi sebelum ini, termasuk Kota Laksamana, Bandar Hilir dan Kesidang,” katanya.
Beliau mengakui, kekuatan BN-PN kini tidak boleh dipandang ringan dan usaha meyakinkan pengundi perlu dipergiat.
Selain itu, Loke berkata pihaknya juga memilih untuk berkempen secara positif dengan mengetengahkan pencapaian Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan keyakinan pengundi.
Sebelum hari penamaan calon, BN dan PN mengumumkan kerjasama strategik dijalin di negeri itu dengan memberi sokongan kepada calon masing-masing selain tidak bertembung di mana-mana kerusi.
Pada PRN Melaka kali ini, seramai 79 calon bersaing merebut 28 kerusi DUN dengan PH meletakkan 24 calon, BN 23 calon, Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) 16 calon, BERSATU 7 calon dan PN lima calon.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pengundian pada 14 November ini untuk rayat negeri itu memilih kerajaan negeri yang baharu.