6 NOV : Pendakwa Raya akan memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan pendakwah selebriti, Da’i Syed daripada pertuduhan rogol.
Da’i Syed atau nama penuhnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan menerusi keputusan majoriti Mahkamah Rayuan, semalam.
Mahkamah mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan yang diputuskan sebelum ini.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan, keputusan memfailkan permohonan semakan itu dibuat selepas meneliti alasan penghakiman yang dikemukakan panel hakim Mahkamah Rayuan.
Permohonan berkenaan akan dikemukakan mengikut Kaedah 105 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 [P.U. (A) 524/1994].
Menurut AGC, langkah itu berlandaskan prinsip perundangan serta kriteria dan ambang yang ditetapkan bagi membolehkan Mahkamah Rayuan melaksanakan bidang kuasa semakan.
“Sehubungan itu, hujahan pihak Pendakwaan akan tertumpu kepada persoalan sama ada terdapat keadaan-keadaan luar biasa yang memenuhi ambang perundangan tersebut bagi membolehkan Mahkamah mempertimbangkan pelaksanaan bidang kuasa semakannya,” menurut kenyataan itu.
AGC turut merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Asean Security Paper Mills Sdn Bhd v Mitsui Sumitomo Insurance (Malaysia) Bhd sebagai panduan prinsip perundangan bagi permohonan berkenaan.
Jabatan itu menegaskan komitmennya untuk memelihara keluhuran undang-undang serta memastikan keadilan ditegakkan mengikut saluran dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Terdahulu, Da’i Syed didakwa merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah kondominium di I-City, Shah Alam, kira-kira jam 1.35 pagi pada 11 September 2019.
Pada 30 Ogos 2024, Mahkamah Sesyen mensabitkannya atas pertuduhan itu dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan.
Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudian mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan pada 23 Januari lalu sebelum Da’i Syed mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.