12 NOV : Kempen secara konvensional semakin mencabar untuk menarik perhatian pengundi muda, khususnya Generasi Z (Gen Z), mendorong calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Datuk Michael Gan memperhebat strategi menerusi media sosial.
Calon nombor tiga itu berkata, penggunaan platform digital seperti TikTok, Facebook dan siaran langsung menjadi pendekatan penting untuk berkomunikasi dengan golongan berkenaan yang mempunyai corak tersendiri dalam mendapatkan maklumat.
Menurutnya, kaedah berkempen perlu disesuaikan dengan perkembangan teknologi dan kebiasaan golongan muda supaya mesej yang dibawa calon dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
“Gen Z ini bukan mudah untuk didekati, tetapi kita tahu kita perlu menggunakan media untuk berinteraksi dengan mereka kerana golongan ini mempunyai cara tersendiri.
“Kalau kita menggunakan pendekatan konvensional memang agak sukar, jadi kita akan memperbanyakkan penggunaan media sosial termasuk TikTok, live dan Facebook,” katanya.
Michael berkata, platform media sosial juga memberi ruang kepada calon untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan pengundi, terutama golongan muda yang aktif menggunakan medium berkenaan dalam kehidupan seharian.
Justeru itu katanya, penggunaan saluran digital akan terus dipertingkat sebagai sebahagian daripada strategi kempen PN bagi mendekati kelompok pengundi berkenaan.
